Friday, April 26, 2019

Jangan sebut Salam... sebut As-Salam... Aduhai Bangsaku...

Semenjak 2012 penggunaan As-Salam sebagai singkatan Assalamualaikum telah menjadi trending di media sosial tempatan. Hairan juga bagaimana ia boleh trending sebegini. Rupa-rupanya ada perkongsian di media sosial yang melarang menyebut "salam" kononnya ia bermaksud "celaka". Lā ḥawla wa lā quwwata illā billāh. Ini sama sekali TIDAK BENAR!

Bagaimana orang Islam kita boleh terpedaya sebegini? Itulah bahaya media sosial. Khususnya perkongsian berkenaan agama. Rata-rata orang kebanyakan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam tetapi ingin membuat kebaikan melalui kaedah mudah iaitu melalui social sharing and forwards, yang boleh dilakukan dihujung jari. Cuma persoalannya, adakah perkongsian 'di hujung jari' ini dapat memenuhi matlamat 'membuat kebaikan' dengan cara mudah tersebut? Ini kerana bahan yang dikongsi tu belum tentu benar dari segi kandungannya.

Sebelum kita menjawab persoalan tersebut, lebih baik kita menganalisa makna salam itu sendiri dalam beberapa minit.

(A) Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-4 (Kamus Dewan adalah satu kamus tempatan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang paling dipercayai dan paling tinggi kredibilitinya di kalangan kamus-kamus Bahasa Melayu yang lain), salam bermaksud
1. sejahtera (dalam kata majmuk), damai.
2. (pemberian) hormat, (penyataan) hormat: baginda duduk di atas kuda, melambai-lambai membalas salam rakyat baginda; salam takzim ~ salam dan hormat; berjabat salam ~ berjabat tangan; memberi salam ~ mengucapkan kata hormat (seperti assalamualaikum dsb)

Jelas makna salam itu begitu baik sekali. Bagaimana pemfitnah dan perosak bahasa ini boleh merumuskan salam itu bermaksud 'celaka' atau 'celakalah kamu'?

(B) Asal perkataan Islam (اسلام) adalah daripada perkataan salam (سلام), dan mempunyai akar kata Bahasa Arab yang sama iaitu sin (س), lam (ل) dan mim (م).

(C) Pengunaan salam di dalam Al-Quran: Terdapat 19 perkataan salam (سلام) daripada 16 buah surah di dalam Al-Quran; 6 perkataan salam dengan pengakhiran alif (سلاما) daripada 6 buah surah; 3 perkataan salam dengan permulaan wau (وسلام) daripada 3 buah surah; dan 1 perkataan salam dengan permulaan fa (فسلام) daripada sebuah surah.

Salam (سلام)

1. Surah Al-An'am, ayat 54.
2. Surah Al-A'raf, ayat 46.
3. Surah Yunus, ayat 10.
4. Surah Hud, ayat 69.
5. Surah Ar-Ra'd, ayat 24.
6. Surah Ibrahim, ayat 23.
7. Surah An-Nahl, ayat 32.
8. Surah Surah Maryam, ayat 47.
9. Surah Al-Qasas, ayat 55.
10. Surah Al-Ahzab, ayat 44.
11. Surah Yasin, ayat 58.
12. Surah As-Saffat, ayat 79.
13. Surah As-Saffat, ayat 109.
14. Surah As-Saffat, ayat 120.
15. Surah As-Saffat, ayat 130.
16. Surah Az-Zumar, ayat 73.
17. Surah Az-Zukhruf, ayat 89.
18. Surah Adh-Dhariyat, ayat 25.
19. Surah Al-Qadr, ayat 5.

Salam dengan pengakhiran alif (سلاما)

1. Surah Hud, ayat 69.
2. Surah Al-Hijr, ayat 52.
3. Surah Maryam, ayat 62.
4. Surah Al-Furqan, ayat 63.
5. Surah Adh-Dhariyat, ayat 25.
6. Surah Al-Waqi'ah, ayat 26.

Salam dengan permulaan wau (وسلام)

1. Surah Maryam, ayat 15.
2. Surah An-Naml, ayat 59.
3. Surah As-Saffat, ayat 181.

Salam dengan permulaan fa (فسلام)

Surah Al-Waqi'ah, ayat 91.


Mari kita ambil beberapa contoh daripada ayat-ayat di atas.
__________________________________________
Surah Ibrahim, ayat 23:
وَأُدْخِلَ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ ۖ تَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ
Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal saleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan mereka; Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu adalah "Salam".

__________________________________________
Surah Hud, ayat 69:
وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَىٰ قَالُوا سَلَامًا ۖ قَالَ سَلَامٌ ۖ فَمَا لَبِثَ أَن جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ
Dan sesungguhnya utusan-utusan Kami (malaikat-malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, mereka mengucapkan, "Salam". Ibrahim menjawab, "Salam". Maka tidak lama kemudian, ia membawa jamuan untuk mereka seekor anak lembu yang dipanggang.

__________________________________________
Surah Yasin, ayat 58:
سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ
(Kepada mereka): "Salam" sebagai ucapan selamat dari Tuhan yang Maha Penyayang.

__________________________________________
Surah As-Saffat, ayat 120:
سَلَامٌ عَلَىٰ مُوسَىٰ وَهَارُونَ
Salam kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.

__________________________________________
Surah Al-Ahzab, ayat 44:
تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ ۚ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا
Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan "Salam"; dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.

[Selebihnya anda boleh rujuk sendiri di dalam Al-Quran]


Nah, bukankah ucapan penghormatan penghuni syurga itu adalah 'Salam'? Bukankah malaikat yang diutuskan kepada Nabi Ibrahim mengucapkan 'Salam' dan Nabi Ibrahim membalas dengan ucapan 'Salam'? Bukankah nabi-nabi terdahulu juga menggunakan Salam? Jadi, bagaimanakah Salam itu boleh membawa maksud 'celaka'?

(D) Di dalam masyarakat Arab sendiri, penggunaan salam pendek ("salaam سلام") dalam memberi salam adalah perkara biasa. Bagaimanapun mereka tidaklah pula menggunakan singkatan "assalam" (السلام) seperti sesetengah masyarakat kita. As-Salam boleh membawa maksud 'yang sejahtera', misalnya Masjid As-Salam yang membawa maksud 'Masjid Sejahtera'. As-Salam juga salah satu daripada 99 nama Allah yang membawa maksud 'Yang Maha Sejahtera'.

Dari segi tatabahasa, adalah tidak tepat jika kita ucap "as-salam" begitu sahaja dalam maksud memberi salam. Ia mesti dilengkapkan dengan "alaik atau alaikum" yang bermaksud 'ke atasmu / ke atas kamu semua'. Jika hendak memberi 'salam penuh', gunakanlah salam yang lengkap iaitu "Assalamualaikum (السلام عليكم)" atau "Salam'alaikum (سلام عليكم)". Jika tidak, gunakan salam pendek sahaja yakni Salam (سلام). Semua ini (salam, salam'alaikum, assalam'alaikum) ada dinyatakan di dalam sunnah (Al-Quran dan Hadis). Sebenarnya terdapat beberapa lagi gaya memberi salam yang diceritakan di dalam hadis-hadis yang sahih seperti Salam alaik dsb. tetapi ini tidak termasuk di dalam skop penulisan ini. Cuma apa yang hendak ditekankan di sini ialah - praktikkanlah yang sunnah.

Contoh di dalam Al-Quran yang menggunakan 'Salam'alaikum' - Surah Ar-Ra'd, ayat 24:
سَلَامٌ عَلَيْكُم بِمَا صَبَرْتُمْ ۚ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ
Salam ke atas kamu (semua) di atas kesabaranmu yang berterusan. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.

Lihat tiada 'Al (ال)' atau 'As' di situ. Jadi tidak perlulah berbalah kononnya wajib memakai "As" di hadapan perkataan salam ketika memberi salam.

(E) Penggunaan Salam di dalam album: Terdapat beberapa artis antarabangsa yang menggunakan judul album 'Salam' pada album mereka.



(Dari atas ke bawah - cover album Sami Yusuf, Irfan Makki dan Harris J.)

Bayangkan jika judul album mereka bermaksud celaka, tidakkah ini mengundang kontroversi kepada dunia Islam? Adakah Sami Yusuf mahupun penerbit album beliau tidak tahu akan makna Salam /Salaam?


BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL
JANGAN HARAMKAN YANG HALAL

Memang penggunaan 'As-Salam' dalam memberi salam telah membudaya di dalam masyarakat kita. Lihat sahaja emel, mesej whatsapp, facebook, mahupun media sosial lain, penggunaan 'as-salam' begitu trending sekali. Tidak kiralah ahli keluarga, teman rapat, rakan sekerja, pegawai kerajaan, pensyarah, Dato' Seri, malah lulusan sekolah agama dan ahli masjid tidak terkecuali daripada kekeliruan ini.

Sebenarnya tiada istilah singkatan 'Assalamualaikum' seperti Aslkm, Asm, Akum, dll., kerana Islam telah menyediakan ucapan salam terpendek yakni "Salam" yang terang-terangan dinyatakan di dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Apa yang membimbangkan kita adalah sekiranya golongan yang menggunakan istilah 'As-Salam' ini meyakini bahawa 'Salam' itu bermaksud celaka, dan terus-terusan menyebarkan kepalsuan ini di kalangan masyarakat. Malang sekali sekiranya mereka menyedari akan hal ini tetapi take for granted dan buat-buat tak tahu. Yelahkan, tak mungkin kita tidak sedar apabila ada rakan yang memberi mesej salam pendek (سلام) tetapi dijawabnya dengan As-Salam (dan sebaliknya), tidakkah ini suatu yang pelik? Mesti ada sesuatu yang telah berlaku di situ. Kenapa kita sebagai umat Islam yang dianugerahkan dengan akal fikiran yang sempurna oleh Allah, tidak menggunakan akal fikiran tersebut untuk berfikir dan mencari kebenaran?

 Pemfitnah menggunakan gambar Allahyarham Dr Haron Din bagi menguatkan hujah dan meyakinkan orang-ramai bahawa salam itu bermaksud celaka
_______________________________________

Sekarang mari kita semak kebenaran sebaran ini:
-Bye bermaksud 'Di bawah naungan Pope'? - Mengarut sekali!
-Akum bermaksud 'binatang' dalam Bahasa Yahudi? - Sangat mengarut! Tidak wujud Bahasa Yahudi. Yahudi itu bangsa, bukan bahasa. Bahasa pertuturan masyarakat Yahudi adalah Bahasa Ibrani yang juga dikenali sebagai Hebrew dalam Bahasa Inggeris. Manakala dalam Bahasa Arab ia dipanggil Lugha al-'Ibriya (اللغة العبرية). Perlu diketahui bahawa binatang dalam Bahasa Ibrani adalah ba'al khayim (בעל חיים). Akum dan ba'al khayim... sungguh jauh berbeza.
-Semekom itu bermaksud celaka kamu? - Mengarut!! Dapat dari kamus mana ini?

Wahai pemfitnah dan perosak bahasa, ketahuilah Salam itu Halal lagi baik maknanya. Jangan kamu haramkan yang Halal dan jangan kamu pesongkan kefahaman masyarakat kita. Islam kita sudah parah, jangan kamu menambah parah lagi Islam kita.


Kita tidak tahu siapa yang memulakan penyebaran ini... apakah tujuannya, adakah dia musuh Islam, adakah dia seorang Islam tetapi jahil, adakah dia hanya ingin test the market, kita tidak tahu. Wallahua'lam. Semoga Allah melindungi kita semua daripada fitnah sebegini.

No comments: